Kilang baharu perkukuh kedudukan Farm Fresh

BeritaHarian Tue, May 17, 2022 04:44pm - 3 years View Original


Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal di hadapan kilang pemprosesan baharu syarikat di Selama, Perak - Foto ihsan Facebook Azmi Zainal

SERDANG: Farm Fresh Bhd bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar produk tenusu utama negara menerusi pengoperasian ladang dan kilang pemprosesan berkeluasan 335.08 hektar di Selama, Perak.

Kemudahan terkini syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan yang sudah 70 peratus siap itu dijangka mengeluarkan sehingga enam juta liter susu.

Kemudahan sedia ada milik Farm Fresh mampu mengeluarkan 25.3 juta liter susu setahun, merangkumi 12.3 juta liter di Malaysia dan bakinya di Australia.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal, berkata buat masa ini syarikat sudah melabur lebih RM50 juta untuk membangunkan ladang dan kilang pemprosesan di Selama yang dianggarkan mampu menampung sehingga 3,000 ekor lembu.

Katanya, selepas ladang dan kilang pemprosesan beroperasi pada September ini, kemudahan itu dijangka mampu menyediakan bekalan produk untuk wilayah utara seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

"Kami sedang bekerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Syarikat Air Perak bagi menyediakan kelengkapan penjanaan elektrik kerana menjadi satu cabaran kepada membuka kilang pemprosesan di luar bandar susulan ketidakcukupan infrastruktur.

"Kami merancang menternak 2,000 hingga kapasiti maksimum 3,000 ekor lembu yang mampu menghasilkan enam juta liter setahun. Penambahan ternakan ini akan mengambil masa 15 hingga 18 bulan untuk mencapai kapasiti penuh.

"Buat masa sekarang, kami menternak lebih 1,000 lembu di Selama dan pengeluaran susu dilaksanakan tetapi pengilangan pemprosesan belum siap. Memandangkan tiada kilang pemprosesan di sana, susu yang diperah dihantar untuk proses ke Larkin, Johor," katanya kepada BH.

Azmi berkata, kilang pemprosesan di Selama dijangka menghasilkan chill product atau sedia diminum (RTD) di mana ketika ini penguasaan pasaran Farm Fresh di Malaysia adalah 42 peratus.

"Apabila kilang pemprosesan di Selama siap, kapasiti pengeluaran di Larkin sedikit dilonggarkan dan ia mampu meningkatkan pengeluaran untuk meraih jualan lebih baik di Singapura.

"Itu strategi kami memandangkan Singapura juga pasaran penting dengan jualan mencecah RM20 juta setahun.

"Ketika ini, Farm Fresh menanggung kos logistik yang agak besar untuk menghantar susu mentah dan produk, namun ia diimbangi dengan penghantaran semula jerami ke Muadzam, Pahang dan Larkin. Selepas kilang di Selama siap, ia akan melengkapkan ekosistem kami," katanya.

Mengenai operasi di Kyabram, Australia, Azmi berkata, Farm Fresh merancang menggunakan sebahagian dana dijana menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM80 juta untuk pembangunan fasa dua kilang di negara berkenaan.

"Di Kyabram, kami ada satu kilang pemprosesan yang menghasilkan susu 13 juta liter setahun menerusi jumlah ternakan lembu susu sekitar 2,600 ekor. Susu mentah yang dihasilkan di sana dieksport semula ke Malaysia.

"Dengan keluasan 1,048.1 hektar, iaitu tanah yang beli sejak 2017, kami merancang membina kilang mengeluarkan produk UHT untuk pasaran eksport ke Asia Pasifik," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

FFB 1.860
TENAGA 14.300

Comments

Syam Kushaini
Like · Reply
Noicee????

Login to comment.