KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul sebagai pemegang saham utama dalam NationGate Holdings Bhd dengan pegangan langsung sebanyak 5.1 peratus.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, NationGate berkata KWSP telah memperoleh 89.39 juta saham atau 3.93 peratus kepentingan dalam penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu pada 15 Julai lalu.
Ia sehari selepas premis anak syarikat milik penuh NationGate, iaitu NationGate Solution (M) Sdn Bhd diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pembelian saham terkini itu telah meningkatkan pegangan KWSP melepasi ambang lima peratus yang diperlukan untuk dianggap sebagai pemegang saham utama.
KWSP kini merupakan pemegang saham keempat terbesar NationGate, di belakang Pengasas Bersama merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ooi Eng Leong yang memiliki 48.26 peratus kepentingan; isteri beliau, Datin Tan Ah Geok (6.48 peratus) dan Amanah Saham Nasional Bhd (5.5 peratus).