KUALA LUMPUR: Rangkaian jenama ayam goreng tempatan yang sedang pesat berkembang, Ahmad's Fried Chicken, menyasarkan pembukaan 66 cawangan baharu di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Pengasas dan Pengarahnya, Taufik Khairuddin, berkata langkah pengembangan agresif itu diambil susulan sambutan luar biasa daripada pelanggan sejak pembukaan cawangan pertama pada Disember 2024.
Menurutnya, perluasan rangkaian itu adalah sebahagian daripada Pelan Lima Tahun Ahmad's Fried Chicken yang dirangka secara strategik oleh syarikat pengendali, Mad Bean Holdings Sdn Bhd.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati sajian 24 menu warisan yang rangup, lazat dan menyelerakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Setakat Jun, Ahmad's Fried Chicken sudah membuka 30 cawangan meliputi empat restoran, lima restoran mini dan 21 kiosk.
Taufik berkata, pembukaan cawangan baharu akan memberi tumpuan kepada pekan kecil dan bandar di seluruh negara, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan serta Sabah dan Sarawak.
Katanya, pihak syarikat turut membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi rakan niaga francais, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan usahawan tempatan dan mempercepatkan peluasan jenama.
"Ahmad's Fried Chicken bukan sekadar jenama makanan segera, sebaliknya kami mahu ia menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia melalui sajian warisan yang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat," katanya.
Dengan slogan "Jenama Kita. Rasa Kita. Semangat Kita.", Ahmad's Fried Chicken menekankan aspek kualiti hidangan, layanan mesra pelanggan serta perkhidmatan cemerlang oleh krew di setiap premis.
Taufik turut mendedahkan bahawa pihaknya merancang untuk melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa, termasuk membuka cawangan di Makkah dan Madinah dalam masa terdekat.
Tambahnya, inisiatif peluasan itu juga bertujuan memperkukuh ekosistem makanan dan minuman (F\&B) tempatan, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat di seluruh negara.