KUALA LUMPUR: Capital A Bhd kembali mencatatkan keuntungan dengan laba bersih sebanyak RM689.57 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 berbanding kerugian bersih sebanyak RM91.55 juta yang disaksikan semasa suku yang sama tahun sebelum ini.
Kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia melaporkan bahawa pendapatan daripada operasi berterusannya telah menokok kepada RM414.52 juta daripada RM359.76 juta selepas dipacu oleh sumbangan yang lebih baik daripada perniagaan bukan penerbangan.
Capital A kini sedang dalam proses melupuskan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Bhd dan menjangkakan transaksi itu selesai menjelang suku ketiga tahun ini.
"Penstrukturan semula ini turut menetapkan pentas untuk perniagaan bukan penerbangan Capital A mencatatkan trajektori pertumbuhan mereka, dengan perniagaan utama seperti Asia Digital Engineering (ADE) dan Teleport meningkatkan pelan pengembangan mereka, disokong oleh permintaan yang kukuh termasuk usaha meningkatkan modal strategiknya," kata kumpulan itu lagi.
-BERNAMA